Hari ni merupakan hari ketiga adik di hospital sejak dimasukkan pada Jumaat 14.8.2009.Hari ini demam telah tiada. Purata suhu badan adik dalam 37'C.
Semalam (Sabtu)disebelah pagi.. adik telah menjalani rapid test untuk Influenza A. Adik mempunyai demam melebihi 38'C sejak hari Rabu, selsema dan batuk (sekali-sekala). Nurse ambil sampel dengan swab di rongga hidung. Berdebar2 hati Mummy sementara menunggu keputusannya. Tengahari.. nurse membawa berita kurang baik buat kami sekeluarga. Ujian adik positif.
Adik dipindahkan ke bilik isolasi. Memandangkan keputusan rapid test adalah positif dan adik juga dalam kumpulan berisiko, maka ubat antiviral tamiflu diberikan pada petang yang sama.
Untuk makluman, rapid test yang dijalankan adalah untuk mengesan virus Influenza A. Buat masa ini, arahan yang diterima adalah supaya 'menganggap' mereka yang positif 'rapid test' mempunyai H1N1. Namun, ujian pengesahan H1N1 hanya dapat dijalankan oleh IMR.
Adik mengalami cirit-birit kesan akibat dua jenis antibiotik yang diambilnya sejak Jumaat. Di sebelah malam, cirit-birit masih berterusan. Adik juga mula muntah-muntah. Ini merupakan kesan sampingan ubat tamiflu yang diambil. Tamiflu diberi dalam bentuk 'oral suspension' (bagi kanak-kanak) dan dosage adalah berbeza mengikut umur dan berat badan. Ubat ini perlu diambil selama 5 hari.
Hari ini (Ahad).. keadaan adik bertambah baik. Batuk telah tiada dan selsema juga semakin berkurangan. Drip juga telah di tanggalkan sejak pukul 8 pagi tadi. Adik tentunya gembira kerana dapat bebas berjalan (tapi terhad di dalam bilik sahaja tentunya!) Menjelang tengahari, nurse ambil sampel untuk dihantar ke IMR untuk pengesahan H1N1. Tak tahu la bila boleh dapat keputusannya.
Cuma ada seperkara yang dirindui Suhail hari ini. Dia asyik memanggil & mencari abang.
"Abang.. abang!!!"
Bila dia teringatkan abang, dia akan membuka pintu almari, pintu bilik air, melihat disebalik katil.. sambil memanggil abang.
Mummy pun rasa tak berapa sihat sejak petang semalam (Sabtu).. badan rasa tak sedap, batuk-batuk dan sakit kepala. Hari ini keadaan mummy tidak berkurangan. Jadi, Doktor mencadangkan mummy untuk buat ujian rapid test sekiranya ingin mendapat kepastian. Alhamdulillah, ujian rapid test mummy negatif walaupun mummy takut sebab suhu badan adalah 38.9'C semasa pemeriksaan dijalankan. Sekarang, mummy pun kena telan ubat & antibiotik ;-)
Walaupun keadaan adik sudah bertambah baik dan boleh pulang ke rumah (kuarantin di rumah), adalah tidak mungkin untuk mengasingkan Suhail & Shu'aib di dalam rumah yang sama. Jadi setelah berbincang dengan doktor..buat sementara waktu ni.. adik, mummy & daddy akan terus tinggal diwad. Sekurang-kurangnya sehingga Selasa ini.
Berikut.. sedikit fakta tentang H1N1:
Apa dia H1N1?
Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A(H1N1).
Virus influenza ini adalah sejenis virus yang baru dan terhasil daripada reassortment (percampuran) genetik virus influenza babi, burung dan manusia.
Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.
Apakah gejala virus ini?
Gejala jangkitan virus influenza A(H1N1) adalah serupa dengan gejala selesema bermusim (influenza-like-illness) termasuk demam; batuk, sakit tekak dan gejala lain seperti selesema, sakit badan, sakit kepala, badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga individu yang dijangkiti virus ini mengalami cirit-birit dan muntah.
Bagaimana kita boleh dijangkiti?
Virus ini berjangkit apabila pesakit batuk atau bersin.
Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan-permukaan (surfaces) atau tersebar ke udara. Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan; melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.
Berapa lamakah orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus ini?
Selagi mereka mempunyai gejala penyakit ini. Biasanya sehingga 7 hari dari tarikh mula mengalami gejala penyakit ini terutamanya semasa demam
Kanak-kanak boleh menyebarkan penyakit ini bagi tempoh yang lebih lama.
Bagaimana anda boleh mengurangkan penularan jangkitan ini?
Social distancing iaitu menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta meminimumkan majlis perjumpaan
Adab batuk yang baik (cough etiquette)
Kebersihan tangan dengan mencuci cara betul dan lebih kerap
Pengudaraan dalam rumah yang baik
Kes-kes yang berkomplikasi atau yang berisiko tinggi perlu dirawat di hospital. Pendekatan ini akan memastikan impak negatif penularan pandemik dapat diminimakan
Mereka yang bergejala ringan, serta tiada masalah kesihatan, digalakkan berehat di rumah dan hanya perlu ke klinik atau hospital apabila gejala menjadi lebih berat.
Alhamdulillah , dah sihat adik ye...mummy pun kena jaga kesihatan ok...
ReplyDeleteTQ Mak Doyah. Hope everything's gonna be fine for us ;-)
ReplyDelete